Friday, July 2, 2010

CINTA KITA - Lakonlayar


Aku beritahu emak yang aku akan berada disini (rumah kami
di Penang) paling lama tujuh hari. Emak sudah dapat menjangka yang aku akan menaip skrip ini dalam masa tiga hari saja. Dia tau
aku menaip pantas. Tak sia-sia dia menyuruh aku belajar menaip
dulu. Dia mahu aku bekerja sebagai kerani kerana kerani tak ada kerja lain kecuali menaip. Rupa-rupanya aku menaip lain; lakonlayar.

"Skrip ni tajuk ape Atan........?" tanya emak aku yang memanggil nama timang-timangan aku Atan. Maklomlah aku anak sorang mereka. Abang aku mati lepas beberapa hari lahir di dunia. emak dan ba sempat beri nama dia Yaakob mengambil sempena nama Nabi Yaakob sebab nama bapak aku Ishak. Tapi kenapa emak namakan aku Kamal. Kata emak perkataan Kamal tu salah satu sifat insan yang dituntut baiknya. Sifat Jalal. Sifat Kamilmukamil: sifat kesempurnaan . Apa pun diberi nama aku Kamal bin Ishak yang sudah dijanjikan Allah. Sihat sakit, kaya miskin, hidup mati semuanya sudah dijanjikan Allah.

"Atan bubuh tajuk filem ini Cinta Kita la mak...." jawab aku.
Emak akulah yang jadi insan pertama yang aku bagi tahu tajuk filem ini. Niat aku tercapai akhirnya kerana aku mahu dia jadi orang pertama tahu judul filem ini.

Kerja menaip pun bermula. Dari adegan satu, ke adegan dua dan seterusnya. Aku pastikan
cerita aku bergerak atas landasan three act play. Ini adalah asas untuk mengawal penceritaan. The art of telling story. Cerita mesti ada permulaan (act 1), pertengahan (act 2) dan pengakhiran (act 3). Aku juga mengawal penceritaan aku melalui helaian muka surat. 10 muka surat pertama ialah untuk memaparkan cerita dan konflik tema. Jangan terlalu banyak memperkenalkan konflik watak utama. Perkenalkan juga latar dan ilmu alam cerita. Perkenalkan antoganis yang menghalang cita-cita watak untuk mencapai goal nya. Ingat character must have goal. Saat watak mahu mencapai goal itu, sudah tentu dia akan bertembong dengan halangan-halangan tertentu.

Dalam penulisan skrip, masa yang dikira ialah one page is for one munites. Satu muka surat ialah untuk satu minit. Jadi kalau 120 muka surat bermakna durasi filem kita 120 minit iaitu 2 jam masa perjalanan filem. Ini adalah standard durasi taysangan untuk sesebuah filem ditayangkan. Jadi kita hendaklah mahir menyusun cerita pada muka surat (pages) untuk setiap babak. Babak ialah 'act' manakala adegan 'scene' akan berada didalam babak. Saat aku menaip skrip, aku akan pastikan scene by scene berada dalam situasi babak yang tepat dan dikawal oleh helaian kertas yang akhirnya menjadi muka surat demi muka surat. Contohnya apabila aku melihat helaian muka surat 45; aku bertanya apa cerita berkembang atau tidak. Apakah plot menampakkan progressive atau masih still. Kemana arah tujun cerita selepas ini. Sudahkah watak melepasi plot point 1 dengan jayanya. Bagaimana keadaan plot point 2 yang lebih rumit bakal terjadi hingga mencapai klimaks sebelum cerita tamat.

Aku menaip dengan laju tanpa ada halangan kerana aku telah melepasi prosess pemikiran sebelum ini. Aku sudah mengenali watak dan kemahuan serta halangannya. Aku sudah kenal latar cerita, konflik dan krisis. Aku sudah nampak jelas mid point scene. Aku sudah masak dengan dialog-dialog yang bakal watak-watak perbualkan. Maka kerja menaip skrip berjalan dengan lancar. Ada kawan datang melawat aku bila mereka tau aku ada di Penang. Aku layan mereka tanpa sedikit pun kerja-kerja menaip aku menjadi halangan. Malah semasa melayan mereka, banyak idea-idea baru masuk bertukar ganti.

Pagi di tempat aku amat riuh. Di Kepala Simpang Jalan Perak, aku cari nasi kandar. Sedap yang dijual oleh Ariff anak mamak kawan sekolah aku. The best nasi kandar. Dulu masa aku di sekolah rendah, bapaknya yang berniaga. Sekarang turun pada anak dia pula. Cuma harga berbeza. Zaman bapaknya sebungkus nasi kandar boleh dibeli dengan harga 10 sen ke 20 sen. Kalau 50 sen tu, kira makan puas sampai tengahari. Aku kerap beli harga 10 sen sebungkus untuk makan pagi sebelum berjalan kesekolah Menengah Abdullah Munshi. Lepas makan, aku ronda-ronda ke rope walk tempat menjual barang-barang lama antik. Banyak ilham akan kedapatan meronda disitu membelek-belek barang lama. Aku suka mencari buku-buku lama terutama sejarah tanah air dan asia. Piring hitam lama pun ada dijual. Barang curi pun ada dijual. Pendek kata kalau kita kecurian barang dan pergi merayau-rayau ke rope walk, kita akan dapati barang kita sudah dijual disitu.

Akhirnya lakonlayar siap 118 muka surat. Selepas aku mengetip huruf t a m a t aku berasa lega menarik nafas panjang. Syukur alhamdulillah atas nikmat yang dia beri terutama kesihatan yang baik sepanjang kerja-kerja menaip lakonlayar Cinta Kita.

"Jaga baik-baik watak-watak yang hang cipta tu Atan. Depa pun manusia juga." pesan emak.

Aku terharu sampai kesitu emak dapat menyelami harga kemanusiaan.

"Jangan jatuhkan maruah depa. Depa orang Melayu. Hang buat filem Melayu. Tanggung
jawab hang berat pada orang Melayu"

Ah....parah. Siang-siang lagi emak dah berpesan sambil mencabar masa depan kerja aku sebagai sutradara filem. Ini filem pertama aku. Siang-siang lagi mak buat aku goyah untuk berada didalam industri ini. Rupanya dalam diam emak memang suka aku jadi film director macam P. Ramlee. Mentang-mentanglah rumah P.Ramlee belakang rumah kami tapi seberang sungai. Masa muda emak aku pun kenal P. Ramlee sebab bapak aku kawannya.

"Mak...Atan tak mau jadi P. Ramlee. Orang mana pun tak boleh jadi P. Ramlee kecuali depa dok berangan saja. Biar P. Ramlee sorang saja dalam dunia ni. Rasanya tak ada orang yang boleh jadi P. Ramlee. Trofi P. Ramlee banyaklah orang dapat."

"Hang ni cakap suka merepet..."

Dengan skrip draf pertama ditangan aku, aku terbayang wajah Sofea Jane.

1 comment:

  1. bro menjaga maruah watak melayu adalah satu nasihat yg cool walau perkataan melayu sekarang sudah tak kool

    ReplyDelete