Thursday, April 8, 2010

SENIMAN BESI


Saya mengenal mesin taip atau typewriter sejak diusia 12 tahun. Semuanya kerana membantu abang sepupu menaip borang kerja yang bertimbun dipejabat dan dibawa pulang kerumah untuk disiapkan. Saya dibayar seringgit dua. Kalau menonton wayang, dapatlah berbelanja lebih sikit dengan wang upah itu.

Arwah emak memujuk saya masuk kelas belajar menaip. Lucu alasannya. Kononnya bila saya
dewasa nanti bolehlah saya bekerja sebagai kerani pejabat kerana boleh menaip. Saya pun masuk kelas menaip tapi tak ada niat langsung nak jadi kerani. Pertama kali masuk kelas, saya
terkejut kerana yang saya lihat adalah kakak-kakak dan abang yang berusia dari saya. Ada yang belajar menaip, ada yang belajar trengkas. Mereka juga hairan melihat saya yang paling muda dalam kelas. Ada yang mencebik. Selepas 6 bulan balajar beserta latihan dirumah mengguna mesin taip abang sepupu, kemahiran saya bertambah. Saya ajak kakak dan abang-abang dalam klas lawan menaip siapa yang pantas. Mereka tewas. Pengajar disitu memberitahu saya bahawa saya boleh menaip selaju 65 perkataan seminit. Saya lulus peperiksaan menaip peringkat elementary dan intermediate. Namun saya tidak sempat belajar hingga keperingkat advance kerana dah malas.

Skrip drama pertama saya tulis menggunakan mesin taip yang saya pinjam dari ayah angkat,
pakcik Razak Ahmad di Kuala Lumpur. Skrip berjudul Daerah Damai diterima oleh rtm. Belajar menulis skrip kononnya mudah - hanya membuat beberapa rujukan buku filem dan skrip yang
saya pinjam dari British Council, American Embassy dan Perputakaan Selangor (dulu belakang
Selangor Club). Saya cuma perlu meniru contoh format menulis skrip untuk televisyen sahaja
kerana segala idea dan jalan cerita sudah ada dalam pemikiran saya. Saya mengenal apa yang di-
katakan konflik, plot, krisis dan klimaks semata-mata melalui 'rasa'. Atondra ialah penyunting
skrip drama tv ketika itu di rtm. Dia telah memanggil saya berjumpanya kerana skrip Daerah
Damai memerlukan sedikit rombakan dan pindaan. Maklomlah saya tidak tahu 'procedure' rtm yang mewakili suara kerajaan. Saya disuruhnya menulis semula setelah di olahnya beberapa
adegan. Atondra juga telah memberi beberapa tips cara menulis skrip untuk studio yang menggunakan 3 kamera. Zaman itu drama tv diterbitkan oleh rtm dan kebanyakkannya dalam
studio di angkasapuri. Atondra mahu saya menaip skrip dihadapannya agar mudah dia boleh membantu. Saya guna mesin taip bersaiz besar dalam pejabat drama ditingkat 2 Angkasapuri. Seingat saya jenama mesin yang saya guna ialah Olympia.

Skrip demi skrip saya tulis. Bukan untuk rtm malah untuk singapore broadcasting coperation (sbc). Semua wang upah saya guna untuk membeli mesin taip baru dan buku-buku filem terutama mengenai dunia lakonlayar. Bermulalah diri ini yang sayarasa sudah hampir dengan industri perfileman. Tugas sampingan lain sebagai ilmu bantu ialah dengan menonton filem setiap hari. Pawagan Federal, Capitol, Rex, Cathay, Colesium malah Pawagam P. Ramlee di Jalan Tuanku Abbul Rahman pun menjadi sekolah filem saya.

Kehidupan berkarya sudah sinonim dengan dengan mesin taip. Saya sudah intim dengan mesin
besi itu. Bunyi ketukan dari mesin itu sukar dipisahkan dari halwa pendengaran malah hati pun boleh mendengar efek ketukan itu. Saya boleh menaip sepantas mungkin kalau watak ciptaan saya itu dalam kegembiraan. Saya mengetip secara perlahan malah lembut sekiranya watak itu
mengalami emosi yang pudar. Saya dapat merasakan pelbagai emosi dari ketukan demi ketukan.
Adakalanya saya bercakap-cakap dengan watak melalui rasa yang dikeluarkan dari ketukan mesin tadi.

Saya dapat meraskan mesin itu bukan sekadar besi tetapi mempunyai roh untuk membentuk
manusia dan kemanusiaan diatas sekeping kertas yang pada mulanya kosong. akhirnya seperti
dicipta dunia dan ditaburkan manusia yang bernama watak lalu bergelumang dengan konflik demi konflik. Manusia tidak pernah bebas dari konflik, begitu juga drama.

Dalam era teknoloji, kawan-kawan menggunakan pc dan laptop, saya masih mau menggunakan
mesin taip. Saya masih percaya bunyi yang dikeluarkan dari mesin itu memberi saya ilham dan
merangsang saya untuk berkarya. Ada beberapa kali saya menaip menggunakan komputer tetapi saya merasakan kekosongan. Dengan komputer, watak seperti dicipta kerana adanya nama, konflik di cetus sekadar mau mengisi ketegangan dan klimaks dicipta sekadar mau menamatkan cerita dengan pantas. Tetapi tidak dengan mesin taip. Ia sukar digambarkan yang dinamakan "p e r a s a a n. . . . ." tatkala berkaraya menggunakannya.

Alahai seniman besi. . . . . . .

Wednesday, April 7, 2010

MISLINA MUSTAFFA

Gibran Agi memperkenalkan dia saat aku mencari pelakon untuk
drama tv OMBAK ITU . . . Pertama kali berbincang tentang story
line Ombak, aku sudah tahu dialah orangnya. Bekerja dengannya
amat menarik kerana dia punya ilmu akting yang tinggi. Lakunan
nya amat bermutu dan aku berlajar terlalu banyak darinya teruta
ma seni lakon.

Ulat buku, kaki tengok wayang, dvd dan terus aktif dalam teater.
Mislina tidak pernah jemu kalau berbual tentang seni. Drama kedua penglibatannya dengan aku ialah MISI (the nurse). Dibawanya watak Utih bersahaja. Aku sukar mencari kesalahan dalam geraknya. Setiap gerak memberi kejutan pada aku. Aku menonton lakunannya dalam drama lain juga filem Yasmin. Mislina tidak perlu dipuji kerana
dia percaya pada "being there". Dia aktor yang pertama memberitahu aku seorang aktor itu
harus ada sifat 'a total surrender to a director' (tapi jangan salah faham....)
Pernah dia bisik, dia bukanlah pelakon cantik cuma berbekalkan bakat, ilmu, passion dan kesungguhan. Aku memberitahunya "you dont have to be a star, but you'll be in my show"



Sunday, April 4, 2010

FOTO HARI TERAKHIR BERSAMA PESERTA UMS

Kenangan yang sukar dilupakan bersama anak-anak
muda ini yang berbakat dalam penulisan lakonlayar.

Mereka bakal mewarnai
industri filem tempatan
dimasa akan datang.