Monday, July 12, 2010

CINTA KITA - Aku, Panshah dan Rosyam Nor



Dalam bilik pejabat Panshah sepi. Yang boleh didengar ialah suara Ramasamy atau panggilan Uncle Sam akauntan Berjaya yang sedang berbual dengan Rajan, kerani yang dah lama kerja disitu. Panshah membelek helai demi helai muka surat skrip itu. Dia fasih membaca bahasa Melayu. Pertuturannya juga lancar kalau dia berbahasa Melayu. Dia berasal dari Kluang, Johor. Panshah tidak berkata sepatah haram pun. Begitulah style nya kalau sedang membaca. Rosyam juga begitu. Khusyuk dia menumpukan bacaan walaupun sesekali nampak riak senyumnya. Aku tau Rosyam boleh baca isi hati aku
tatkala menulis cerita itu. Kepala aku ni blues juga. Rosyam pun sama. Rosyam tak berani nak tanya apa-apa kerana didepannya ada boss dia yang kalau dia bercakap dengan Panshah dia memanggil dengan nama 'sir'. Kalau nak tau, Rosyam begitu hormat pada Panshah sejak bekerja di syarikat itu dan Panshah sendiri sayang pada dia dan isteri Rosyam bernama Runi. Aku tengok Panshah angguk-angguk kepala. Saspen jugak aku dibuatnya tapi kata hati aku - mereka berdua sedang suka skrip aku ini.

"Cinta Kita the title ha...?" Pansahah memecah kesunyian.

"Kenapa tak letak judul lain Mal...?" Rosyam mencelah.

Aku angkat kening sebelah kanan hingga mata sebelah kiri mengecil. Aku tiru style Roger Moore, hero James Bond yang akana buat begitu kalau dia dalam keadaan skeptikal. Aku tengok Roger Moore hero British ini masa dia berlakun siri The Saint sebagai perisik Simon Temple di tv1 zaman aku sekolah rendah. Masa aku bekerja dengan Jalaludin Hassan (tak ingat drama apa), aku latih Jalal suruh dia angkat keningnya sebelah untuk menguatkan bahasa tubuhnya berbicara dengan opponent characters. Jalal berjaya melakukannya. Rupanya Jalal juga peminat The Sait masa sekolah dulu.

"Kita kerap bercerita tentang cinta orang lain. Kali ini biar kita bercerita pula tentang cinta kita sendiri. Yang aku maksudkan kita itu ialah watak yang aku tulis dalam naskah itu. Rosyam tarik nafas. Aku tak pernah tidak ada jawapan kalau ditanya apa-apa soalan pun.

Panshah selesai baca skrip dan angguk.

"I like it. Cuma ending nanti kita bincang kemudian. Rasa ada idea yang menarik yang saya akan
bagi tau. I just got the idea, tapi kalau you suka la Kamal.." Panshah berkata dengan hati yang terbuka. Panshah ni bukan saja penerbit tapi dia juga pernah mengarah filem Tamil pertama di Malaysia dan beberapa drama tv Tamil. Idea dia harus diambil kira jugak.

"Ok...." balas aku. Rosyam tutup skrip walaupun belum selesai baca sepenuhnya tapi bila aku jeling skrip ditangannya itu rasanya dia sudah membaca permulaan act three (pengakhiran). Sudah tentu dia sudah dapat gambaran yang jelas selepas melalui pengalaman membaca act one (eksposisi) dan act two (pertengahan). Selebihnya Panshah mengeluarkan pendapat dan pengalamannya untuk memperbaiki perjalanan projek ini. Panshah menyentuh soal bujet yang aku rasa selesa untuk bekerja. Terima kasih Panshah mendorong aku yang akan bergelar pengarah filem, film director atau sutradara. Waduh besar tu tanggung jawab aku. Siapa nak kasi wang untuk aku menjadi sutradara. Bapak aku tak dapat memberi wang sebanyak itu untuk aku berkarya. Dari saat itu aku berjanji pada diri aku, pada Tuhan akan melakukan sebaik mungkin kerana aku diberi kepercayaan dan tanggung jawab membuat sebuah filem.

Aku dan Rosyam keluar dari bilik Panshah. Rajan memberi isyarat tanda bagus. Uncle Ramasamy melintasi kami kemudian hilang masuk kebilik Panshah. Kata Rosyam, Panshah akan
berbual mengenai bujet dengan akauntannya ini.

"Petang nanti aku kol Sofea suruh ambil skrip...." kata Rosyam sambil tunjuk telefon bimbitnya jenis Motorola yang berbentuk tongkang, besar. Kalau baling kearah kepala anjing, pasti anjing itu pengsan. "Nanti kalau kau ada, sembang-sembanglah pasal the whole production terutama tentang watak dia. Dia kena potong rambut kan...?"

Aku angguk seperti berani dan bersedia bertemu pelakun yang bernama Sofea Jane.

"Sofea dah ada nama Mal. Dia baru baru saja famous dengan U-wei."

Aku angkat kening seperti pantang dicabar. Baik-baik aku merendah diri, aku jadi angin.
Kali ini aku angkat kening bukan lagi seperti Roger Moore tapi seperti Sean connery, hero pertama filem James Bond, Goldfinger.

"Alahhh kau ingat kau terror sangatlah tu..." Rajan disebelah senyum kerana tahu Rosyam suka sanagt guna ayat itu untuk mengasak lawan. Sebenarnya itu cara Rosyam bergurau, berkelakar dengan aku.

"Selagi aku tak kata 'action' semua watak kaku seperti tak ada nyawa. Selepas aku kata 'cut' mereka akan kaku semula. Itu kelebihan seorang sutradara." Balas aku tegas menggunakan ayat dan makna yang lebih filmic.

"Aku tak heran sikit pun kat Sofea Jane..." Loghat Penang aku pekat kali ini.

Seterusnya kami berdua duduk berbincang production design filem ini. Rosyam yang banyak pengalaman memahami mimpi-mimpi aku. Dia menyalurkan idea dan saranan yang baik untuk menjadikan Cinta Kita dari naskah bertulis ke layar perak.

No comments:

Post a Comment