Monday, July 26, 2010

CINTA KITA - Bapak Kamal


Kali ni nak rihat sikit dari menulis dan dari bercerita pasal CINTA KITA. Aku dah janji kan nak bagi tau kau orang semua macam mana dan dari mana boleh dapat nama Bapak Kamal atau kekadang rakan-rakan orang filem panggil aku Bapak saja.

Sebelum tu aku mau kau orang semua tengok foto yang hujung kat atas tu. Dalam foto ada aku ditengah, Badaruddin Hj Azmi jurukamera terkenal disebelah kiri dan Mohd Saufi seorang Gaffer disebelah kanan. Ikut hati aku nak pakai gambar lain yang ada muka Ramli Md Darus, Mail Naka (Emel), Puek, Halim Sabir, Shahriman, Indra Che Muda, Rasul Salim dan Din Letrik. Puas aku cari gambar foto kami beramai-ramai tak jumpa. Mereka ni kawan rapat aku dalam industri zaman itu, malah sampai hari ni pun kami rapat walaupun masing-masing dah ada haluan sendiri serta berkahwin. Dulu kami kerap berkumpul di pejabat production house kepunyaan abang Zainal Othman - Camelite Sdn Bhd., di Taman Permata. Kami semua freelance. Apa-apa job yang Zainal Othman dapat, kami di utamakan. Di Camelite, grup kami pernah buat drama tv berjudul CUTI dan TENGKUJUH yang di shoot dengan 16mm untuk abang Zainal ini. Skrip aku tulis dan mengarah. Hubungan kami begitu akrab. Setiap hari kami bercakap soal filem aja bagaimana untuk mendaya maju kerjaya kami. Badar orangnya gigih dan rajin. Yang lain bersemangat merasakan masa depan kerjaya perfileman cerah. Kami dah lama berada dalam bidang ini sebelum video masuk pasaran. Kami menggunakan arri 35mm dan aton 16mm dan lain-lain.

Oleh kerana aku sedikit berusia dari yang lain dan director pulak tu, mereka anggap aku sebagai ketua tapi unofficial. Aku pun tak mau la dikatakan atau merasa aku ketua. Biar sama serupa.
Tapi apa-apa hal pun mereka akan cari aku dulu atau memberi keutamaan pada aku. Aku suka pada mereka semua. Ingat kami semua freelance. Kais pagi makan pagi.

Nak jadikan cerita. finas ada buat bengkel pengarahan selama sebulan yang dikendalikan oleh sutradara terkenal Indonesia Ariffin C. Neor (gambar diatas. kini telah allahyarham). Aku rasa mau ikut bengkel itu walaupun bayaran nya mahal ketika itu (tak perlu bagi tau). Aku beri tahu rakan-rakan biar aku sorang saja yang masuk bengkel. Tak ngapa, petang nanti mereka semua tunggu aku di gerai mee kuah kaki lima kedai ikan di Taman Permata (tempat kami lepak setiap petang). Apa saja yang aku dapat dari bapak Ariffin ini akan aku cerita pada mereka. Ringkasnya segala ilmu kami harus berkongsi sama. Aku mau apa yang aku tahu diketahui juga oleh mereka.

Menariknya setiap hari bersama bapak Ariffin membuat aku terikut-ikut loghat percakapan telo Indonesianya. Parah!!!! Setiap kali aki bercerita, aku akan bercakap loghat Indon. Apa lagi kalau
aku meniru gaya atau mengejek cara Bapak Ariffin beraksi. Ah....mereka guna kelemahan ini
untuk mempersenda dan perli aku. Bila aku kontrol cakap, mereka pula yang bercakap loghat Indonesia. Keadaan jadi gamat lebih-lebih lagi Halim Sabir suka buat lucu dan menyakat. Kenal Halim Sabir? satu nama besar sebagai pelakun komedi tahun 80han. Pernah membintangi filem BALIK KAMPUNG arahan Zainal Othman. Dia seangkatan dengan Liza Abdullah, Ebby Saiful, Razizm Ismail dan lain-lain. Masa bersama kami dia kurang berlakon tapi bekerja sebagai production manager (pm). Rasul Salim juga suka menyakat aku. Yang lain ikut berseloroh. Mereka mula memanggil aku 'Bapak Kamal' atau 'Bapak'. Hal ini tersebar juga pada rakan-rakan lain ditempat lain. Aku pasrah kerana sedar antara kami hubungan sangat mesra. Kemesraan kami diluar kami bawa juga hingga ke lokasi kerja agar kami tidak bersengketa pada hal-hal yang kecil hingga ke hal-hal yang besar.

Begitulah ceritanya setiap petang berjumpa mereka sekembali dari Finas mengikuti kelas pengarahan Bapak Ariffin C. Neor ini. Setiap hari aku menimba ilmu dan berkongsim pula ilmu dengan rakan -rakan ini. Inilah sekolah filem kami di Taman Permata, gerai mee kuah kaki lima kedai ikan.

Bila hari masuk senja, kami bersurai tapi bukan berpisah kosong. Masing-masing siap dengan ilmu didada untuk mengharungi masa depan. Aku - esoknya akan ke Finas lagi mengadap Bapak Ariffin yang sudah aku angkat sebagai idola aku. Banyak yang aku pelajari darinya. Nanti aku akan cerita pula tentang dia di lain pos. Selepas sebulan Bapak Ariffin disini, pastinya dia akan pulang ke Cirebon. Aku yang tinggal disini harus meneruskan hidup. Rakan-rakan akan memanggil aku 'Bapak Kamal' bermakna besar tanggung jawab aku sebagai bapak demi memartabatkan karya.

Hemmmmmm. . . . . . .




No comments:

Post a Comment