Saturday, March 27, 2010

NOSTALGIA 1

TERKENANG-KENANG

Bukan senang nak jadi macam sekarang. Tak pernah masuk sekolah filem pun. Zaman budak-
budak disekolah rendah hari-hari curi tengok filem. Panggung wayang dekat rumah, Panggung Cathay, Federal, Rex, Odeon, Capitol, Royal, Paramount, Lido dan Majestic adalah sekolah filem terawal buat aku.

Ada panggung jual tiket 10 sen saja sekali tayangan. Ada 30 sen dah cukup. 10 sen makan laksa, 10 sen pesan ais kacang dan 10 sen lagi bayar harga tiket. Nama panggung wayang itu Globe Theatre. Panggung ini tidak ada kerusi. Penonton kena berdiri. Dari sini lah aku mula kenal
beberapa aktor besar hollywod. John Wayne, Clark Gable, Marylin Monroe, Robert Mitchum, Kirk Douglas, Tony Curtis, Gina Lolobrigidia malah Steve Reeve hero filem Hercules. Pelakun
filem Melayu yang berasal dari Pulau Pinang seperti Ahmad Nisfu, M Zain, Nordin Ahmad, Zaharah Agus, Shariff Baboo kerap datang rumah sebab mereka sahabat arwah bapak aku. P. Ramlee lagi kerap datang rumah sembang-sembang muzik dengan arwah bapak. Rumah dia cuma seberang sungai di Counterhall Road.

Kalau wayang pacak masuk kampung aku tak pernah mis. Kawan-kawan tengok filem tapi aku
akan berligar-ligar dekat van pakcik yang menjaga projektor. Aku soronok tengok filem yang sedang berputar dalam gelong reel bergerak melalui corong lampu lalu memancarkan cahaya.
Cahaya itu yang tumpah ke kain putih lalu menggerakkan imej-imej yang dinamakan filem.
Ada lucu, sedih, aksi, roman dan pelbagai yang dilontarkan kelayar yang sedang menghiburkan
manusia bernama penonton ketika itu.

Kalau di kuil India, aku ada kenangan manis lepak sampai ke pagi untuk menonton filem tamil.
Aku terpegun tengok hero MGR lawan pedang menumpaskan dewa jahat di akhir cerita. Aku hairan macam mana mereka buat MGR dan penjahat berada atas awan sambil beraksi. Itu yang
buat aku teringin sangat nak buat filem.

Terima kasih wayang gambar. Terima kasih pelakon-pelakon lama. Terima kasih P. Ramlee, Jamil Sulung, Husin Hanif, L. Krishnan dan lain-lain. Terima kasih pakcik van wayang pacak (mungkin dah arwah) yang mengajar aku buat pertama kali bahawa filem bergerak 24 frames
per second.

Aku tidak sekaya teman-teman lain yang bergiat dalam industri wayang, tapi bangga cita-cita
aku tercapai juga.

No comments:

Post a Comment