Thursday, April 14, 2011

BAPAK & TUN DATU MUSTAPHA



Tiba-tiba aku ternampak foto arwah Tun Datu Mustapha, Ketua Menteri Sabah yang lalu, Bila aku ternampak gambarnya menggesek biola terus aku teringatkan arwah bapak aku, Ishak. Oh ya....kalau kau orang nak tau, itu gambar bapak aku sedang bermain drum. Sebelahnya yang meniup clarinet itu ialah Ahmad Nawab. Mereka memang kawan lama sejak dari muda lagi. Kami tinggal disatu kawasan yang rata-rata ramai pemuzik dan penyanyi. P. Ramlee juga disini. Ahmad Daud, Ahmad Nesfu, M. Zain dan ramai lagi sehinggalah ketahun enam puluhan dimana L Ramlee pula muncul di zaman pop yeah yeah. Kumpulan boria juga banyak disini.

Aku nak cerita macam mana bapak aku boleh berkawan dengan Tun Mustapha. Tahun 1971, bapak aku telah di tawarkan ke Sabah untuk bermain muzik disana. Masa itu aku ditingkatan tiga. Selama dua tahun dia kerja di tempat benama Aneka Nite Club. Twmpat itu terletak di bandar Kota Kinabalu. Aku percaya kerana setiap bulan bapak akan mengirim wang pada emak menggunakan sampul surat berdaftar cop pejabat pos Kota Kinabalu. Ditambah pula bapak akan menulis serba ringkas catatan dirinya menggunakan letter head nite club itu untuk pengetahun emak dan aku membacanya. Ada kalanya bapak akan kirim juga foto dia bersama rakan2 orang Sabah atau foto dia dan rakan sedang bermain muzik.

Yang menarik kata bapak dalam catatan warkahnya, Tun Mustapha masa itu menjadi Ketua Menteri Sabah kerap turun ke kelab malam itu, selain datang makan malam. Beliau akan membawa biolanya dan bermain beberapa buah lagu. Wow....ini yang menarik. Tak sangka pemimpin negara sepertinya berbakat. Kata bapa, perkenalaan dia dengan Tun membuatkan Tun kerap turun untuk bermain muzik bersama trio orkes bapa aku. Kata bapa juga, Tun suka gesekan lagu2 melayu asli. Lagu yang paling dia minat ialah Sayang Sarawak. Aku terbayangkan betapa seronoknya bapak dapat mengiringi pemuzik yang pastinya seorang tokoh negara. Perkenalan dengan Tun membuat bapak berkawan dengan Syed Kechik bos Yayasan Sabah pula.

Bapak pernah mengikuti rombongan kebudayaan Yayasan Sabah pusing seluruh Malaysia membuat persembahan. Dia beri tugas sebagai pengurus keseluruhan persembahan. Seronok bapak bercerita dalam surat dan poskad yang dia kerap kirim dimana saja dia sampai untuk emak tahun perihal suaminya. Ramai jugak kenalan bapak. Akhirnya sebelum dia meninggalkan Sabah. Banyak foto-foto kenangan dibawanya pulang untuk menjadi album kenangan. Sayangnya album itu menjadi mangsa banjir akhirnya.

Pasti aku tak akan dengar gesekan biola Tun Muatapha mendendangkan lagu Sayang Sarawak. Tapi aku tahu semasa hayatnya, Tun seorang pemuzik yang hebat.

Hari ini, aku kerap turun ke Sabah memberi ceramah-ceramah penulisan skrip dan shooting.
Aku tinjau-tinjau kalau masih ujud yang bernama Aneka Nite Club. Aku rasa sudah tidak ada. Aku cuma pendamkan air mata ku untuk ku ingati aruah bapak yang sanggup berjauhan dengan aku dan emak untuk mencari rezeki. Terima kasih bumi Sabah yang pernah memberi bukan sedikit rezeki kepada keluarga kami. Aku, emak dan bapak.

Aku tercari-cari juga masih adakah Aneka Nite club itu ketika ini. . . . . . kalau aku tidak berjumpanya, terima kasih aku pada tuan punya restoren itu. Hanya tuhan saja yang membalas budi mu terhadap keluarga kami. Amin.....

No comments:

Post a Comment