Friday, July 23, 2010

CINTA KITA - Production Crews



Tak banyak yang boleh aku perkatakan kerana department ini dijaga oleh Rosyam selaku
Production Executive. Selepas Jailani Ghani dilantik jadi penolong pengarah aku, dialah yang bertanggung jawab menjadi jurucakap aku kepada sesiapa saja yang bekerja dibelakang tabir. Itu tugas utama seorang penolong pengarah menjadi jurucakap sutradara. Pengarah tidak perlu bercakap dengan orang lain kerana dia akan menumpukan kerja-kerja yang lebih penting sebagai seorang sutradara. Jailani ni banyak ikut aku jadi assistant drama tv. Asalnya beliau orang teater. Pernah bekerja dengan Mior Hashim Manap di Ogy Production. Aku ingat lagi, selepas dia buat dubbing drama 'Cuti' yang aku shoot dengan Badar pakai 16mm, dia offer dirinya nak ikut jadi assistant. Itulah ceritanya. Jai pandai buat shooting schedule. Apa saja masallah pelakun terutama keluar masuk artis dalam set, mudah ditanggani oleh Jai. Aku sendiri pernah turunkan ilmu dan tips yg baik bagaimana membuat shooting schedule yang baik, tepat dan terarah.

Dengan Rosyam, dia mula merangka mencari kru yang lain. Sudah tentulah yang di utamakan ialah seorang jurukamera merangkap dop (director of photography). Dalam banyak-banyak jurukamera yang aku kenal dan pernah bekerja, aku pilih Jamal Maarif. Kenapa? Aku jawab pada Rosyam yang aku mahu seseorang yang mempunyai sama pemikiran dalam memilih lense (lensa kamera). Aku cukup memberi perhatian terhadap kepentingan lensa dalam memilih angle (sudut) dan shot. Shot saja tidak effectif kalau tidak dipadankan dengan angle yang betul-betul menepati kehendak watak begitu juga dialog. Study dialog watak, mood dan kehendak baru cipta shot untuknya. Namun semua ini harus di adun dengan pemilihan lense yang tepat. Ini rahsia kerja aku. Aku mahu bila shot-shot aku di edit (sunting) nanti, ia menjadi kemas tidak berjalan macam orang cacat (maaf pada orang cacat. sebagai contoh saja). Jamal setuju dan seronok dapat tawaran bekerja dengan aku. Kami pun sememangnya kawan lama. Kru yang lain dibawah Jamal dipilih oleh Jamal sendiri kemudianya.

Puas juga mencari Art Director masa tu yang tak ramai terutama dalam filem. Props Man ramai.
Apabila Ramli Md Darus datang mahu buat props, aku terus tawar dia jadi art director.
Terkejut dia. Aku kenal Ramli bukan baru. Dia ni suka buat effect, memang terkenal buat bom dan kesan-kesan tembakan. Ramli memang suka buat kerja-kerja yang orang lain tak sanggup buat. Dalam Cinta Kita, aku nak Ramli explore ideanya lebih luas lagi. Ramli pula melantik beberapa orang dibawahnya sebagai props man dan juru tukang.

Ramai kru yang aku tak ingat nama mereka kerana ramai. Rosyam sendiri ada 3 pembantu produksi iaitu Nurhisham Md Isa, Lobai Gomok dan Ghani Martopo. Rosli atau panggilan mesra nya Janggut bertindak jadi chief props man. Dia banyak ikut Z. Lokman tetapi selepas ikut aku buat drama Korban dia terus ikut. Dia seorang yang rajin. Kru lain ialah juru solek, pemandu lori, tukang buat air, gadis konti, runner dan banyak lagi.

Akhirnya kami semua dihimpunkan di pejabat Berjaya. Aku ceritakan mimpi-mimpi aku untuk jadikan naskah Cinta Kita ini realiti. Mereka semua faham dan tak sabar memulakan kerja.

Tuesday, July 13, 2010

CINTA KITA - Bertemu Sofea Jane



Bertemu dengan Sofea Jane lima hari selepas perbincangan pre-pro dengan Rosyam Nor menjanjikan sesuatu yang menarik. Rupanya Sofea sangat suka skrip itu. Setelah penat lelah dia dibebankan dengan watak Zaleha dalam filem U-Wei, dia merasakan ini adalah filem yang di sukai, menarik temanya, ploting yang menjurus dan cerita ringan anak-anak muda. Itu katanya sebaik saja dia melangkah masuk ke pejabat Berjaya Filem di Jalan Brickfield. Petang itu Sofea kelihatan simple tanpa make up tetapi anak kacukan mat salleh ini tetap cantik. Aku renung wajahnya dalam-dalam. Sejenak aku berfikir apakah betul cerita yang aku tulis ini cerita ringan?

Aku tanya Sofia kali kedua. "Kenapa u terima watak ini?" sedikit tegas.

"Very simple la bapak..." jawabnya pantas membahasakan diri aku dengan panggilan bapak.
Ah sudah. Ini tentu Rosyam punya hal. Saing-siang lagi dia sudah ceritakan latar belakang aku
pada Sofea. Apa pun nanti aku ceritakan dilain pos kenapa sesetengah warga filem memanggil aku bapak.

"Jalan cerita ini simple, tak macam watak Zaleha. So Sofea terima job ini pertama kerana bayaran, kedua kerana cerita ini ringan membuatkan Sofea rasa bekerja sambil taking a holiday"

Aku tak pernah aspect jawapannya begitu. Cinta Kita bukan filem mudah buat aku. Tidak pernah aku tulis cerita ringan selama ini. Cek semula skrip aku sama ada Cuti, Tengkujuh, Setitis Rindu Buat Wardah (adaptasi novelet), Landasan, Korban, Terasing, Jangan Hentikan Hujan Itu, Ombak Itu dan terakhir Pak Gad - semuanya cerita berat. Aku tidak ada masa untuk main main dengan khalayak Melayu yang bernama penonton. Melayu terlalu alpa tentang hidup. Seronok suka ketawa dan dan menggoda. Dalam karya aku - aku tak akan biarkan mereka hanyut kerana aku sayang bangsa aku.

O....baru aku sedar. Mungkin di Malaysia sudah menjadi satu trend pemikiran bahawa kalau filem itu ada sangkut paut dengan 'Cinta' bermakna filem itu ringan. Filem anak muda. Filem komersial selayaknya dipanggil.

Aku pasang niat. Nanti la Sofea, hari pertama shooting pada adegan pertama aku akan pastikan Sofea tidak akan merasakan yang Cinta Kita bukan filem ringan.

Seterusnya kami berbual mengenai watak Latifah yang akan dihidupkan oleh Sofea Jane kemudian menjadi Dino seorang tomboy. Sofea bijak orangnya. Cepat memahami mimpi-mimpi aku menjurus kearah katartis cerita.

Apabila aku mengatakan yang Latifah akan potong rambutnya depan kamera, Sofea sedikit goyang.

"Pakai rambut palsu la bapak....?" wajahnya berubah.

"Ingat, good actor always gives a total surrender to a director" aku cuba mematikan persoalannya. Sofea diam angguk-angguk kecil. Aku beritahu Sofea yang seluruh gambaran cerita ini sudah ada didalam kepala aku. Lama sudah aku simpan. 1995 adalah tahun aku merealisasikan mimpi aku. Cuma aku tidak bayangkan siapakah aktor yang bertuah yang akan
membawa watak Latifah/Dino itu. Rupanya Sofea Jane, aktress yang pernah berlakun bermula dengan filem Mira Edora, Kekasih Awal Dan Akhir, Harry Boy, Perempuan, Isteri dan Jalang, Suratan Kasih, Jimi Asmara dan beberapa lagi.

Namun Sofea Jane yang sedang berada didepan mata aku ni telah memberi aku semangat dalaman bahawa aku kena buat filem ini sebaik mungkin tanpa menoleh belakang lagi. Keyakinan aku berkobar kerana adanya Sofea Jane. Kehebatannya akan menampal seluruh keupayaan aku sebagai sutradara. Pengalaman aku pula akan menyusuk kedalam jiwa Latifah dan Dino. Aku tidak nampak lagi wajah Sofea kecuali gerak mimik Latifah dan Dino di sanubari nya.

Aku juga beritahu Sofea akan ada beberapa adegan ranjang dalam filem ini. Sofea ketawa.

"Do it bapak. Its ok with me." katanya penuh yakin. Aku sendiri yakin kerana dia menjawab dalam bahasa Inggeris. Kalau dalam bahasa Melayu mungkin tidak walaupun adegan yang bakal dibuat itu siang-siang lagi aku sudah tahu akan menjadi mangsa LPF.

"Dont you worry bapak. Buat dulu. Tapi i want to ask you one thing..? Siapa yang pegang watak Arman Ishak?

Aku bagi tahu Sofea, pastinya orang baru. The new look. The look of 90's.























Monday, July 12, 2010

CINTA KITA - Aku, Panshah dan Rosyam Nor



Dalam bilik pejabat Panshah sepi. Yang boleh didengar ialah suara Ramasamy atau panggilan Uncle Sam akauntan Berjaya yang sedang berbual dengan Rajan, kerani yang dah lama kerja disitu. Panshah membelek helai demi helai muka surat skrip itu. Dia fasih membaca bahasa Melayu. Pertuturannya juga lancar kalau dia berbahasa Melayu. Dia berasal dari Kluang, Johor. Panshah tidak berkata sepatah haram pun. Begitulah style nya kalau sedang membaca. Rosyam juga begitu. Khusyuk dia menumpukan bacaan walaupun sesekali nampak riak senyumnya. Aku tau Rosyam boleh baca isi hati aku
tatkala menulis cerita itu. Kepala aku ni blues juga. Rosyam pun sama. Rosyam tak berani nak tanya apa-apa kerana didepannya ada boss dia yang kalau dia bercakap dengan Panshah dia memanggil dengan nama 'sir'. Kalau nak tau, Rosyam begitu hormat pada Panshah sejak bekerja di syarikat itu dan Panshah sendiri sayang pada dia dan isteri Rosyam bernama Runi. Aku tengok Panshah angguk-angguk kepala. Saspen jugak aku dibuatnya tapi kata hati aku - mereka berdua sedang suka skrip aku ini.

"Cinta Kita the title ha...?" Pansahah memecah kesunyian.

"Kenapa tak letak judul lain Mal...?" Rosyam mencelah.

Aku angkat kening sebelah kanan hingga mata sebelah kiri mengecil. Aku tiru style Roger Moore, hero James Bond yang akana buat begitu kalau dia dalam keadaan skeptikal. Aku tengok Roger Moore hero British ini masa dia berlakun siri The Saint sebagai perisik Simon Temple di tv1 zaman aku sekolah rendah. Masa aku bekerja dengan Jalaludin Hassan (tak ingat drama apa), aku latih Jalal suruh dia angkat keningnya sebelah untuk menguatkan bahasa tubuhnya berbicara dengan opponent characters. Jalal berjaya melakukannya. Rupanya Jalal juga peminat The Sait masa sekolah dulu.

"Kita kerap bercerita tentang cinta orang lain. Kali ini biar kita bercerita pula tentang cinta kita sendiri. Yang aku maksudkan kita itu ialah watak yang aku tulis dalam naskah itu. Rosyam tarik nafas. Aku tak pernah tidak ada jawapan kalau ditanya apa-apa soalan pun.

Panshah selesai baca skrip dan angguk.

"I like it. Cuma ending nanti kita bincang kemudian. Rasa ada idea yang menarik yang saya akan
bagi tau. I just got the idea, tapi kalau you suka la Kamal.." Panshah berkata dengan hati yang terbuka. Panshah ni bukan saja penerbit tapi dia juga pernah mengarah filem Tamil pertama di Malaysia dan beberapa drama tv Tamil. Idea dia harus diambil kira jugak.

"Ok...." balas aku. Rosyam tutup skrip walaupun belum selesai baca sepenuhnya tapi bila aku jeling skrip ditangannya itu rasanya dia sudah membaca permulaan act three (pengakhiran). Sudah tentu dia sudah dapat gambaran yang jelas selepas melalui pengalaman membaca act one (eksposisi) dan act two (pertengahan). Selebihnya Panshah mengeluarkan pendapat dan pengalamannya untuk memperbaiki perjalanan projek ini. Panshah menyentuh soal bujet yang aku rasa selesa untuk bekerja. Terima kasih Panshah mendorong aku yang akan bergelar pengarah filem, film director atau sutradara. Waduh besar tu tanggung jawab aku. Siapa nak kasi wang untuk aku menjadi sutradara. Bapak aku tak dapat memberi wang sebanyak itu untuk aku berkarya. Dari saat itu aku berjanji pada diri aku, pada Tuhan akan melakukan sebaik mungkin kerana aku diberi kepercayaan dan tanggung jawab membuat sebuah filem.

Aku dan Rosyam keluar dari bilik Panshah. Rajan memberi isyarat tanda bagus. Uncle Ramasamy melintasi kami kemudian hilang masuk kebilik Panshah. Kata Rosyam, Panshah akan
berbual mengenai bujet dengan akauntannya ini.

"Petang nanti aku kol Sofea suruh ambil skrip...." kata Rosyam sambil tunjuk telefon bimbitnya jenis Motorola yang berbentuk tongkang, besar. Kalau baling kearah kepala anjing, pasti anjing itu pengsan. "Nanti kalau kau ada, sembang-sembanglah pasal the whole production terutama tentang watak dia. Dia kena potong rambut kan...?"

Aku angguk seperti berani dan bersedia bertemu pelakun yang bernama Sofea Jane.

"Sofea dah ada nama Mal. Dia baru baru saja famous dengan U-wei."

Aku angkat kening seperti pantang dicabar. Baik-baik aku merendah diri, aku jadi angin.
Kali ini aku angkat kening bukan lagi seperti Roger Moore tapi seperti Sean connery, hero pertama filem James Bond, Goldfinger.

"Alahhh kau ingat kau terror sangatlah tu..." Rajan disebelah senyum kerana tahu Rosyam suka sanagt guna ayat itu untuk mengasak lawan. Sebenarnya itu cara Rosyam bergurau, berkelakar dengan aku.

"Selagi aku tak kata 'action' semua watak kaku seperti tak ada nyawa. Selepas aku kata 'cut' mereka akan kaku semula. Itu kelebihan seorang sutradara." Balas aku tegas menggunakan ayat dan makna yang lebih filmic.

"Aku tak heran sikit pun kat Sofea Jane..." Loghat Penang aku pekat kali ini.

Seterusnya kami berdua duduk berbincang production design filem ini. Rosyam yang banyak pengalaman memahami mimpi-mimpi aku. Dia menyalurkan idea dan saranan yang baik untuk menjadikan Cinta Kita dari naskah bertulis ke layar perak.

Saturday, July 10, 2010

CINTA KITA - Seniman Besi


Aku guna mesin taip semasa mengetip baris-baris penceritaan dan dialog skrip Cinta Kita.

Walaupun masa tu kawan-kawan dah pakai komputer, aku tidak. Aku masih percaya mesin ini akan memandu aku menulis cerita yang baik. Setiap ketukan seperti bercakap-cakap dengan aku. Aku dapat merasakan marah, sedih, pilu, ketawa sang watak melalui bunyi ketukan besi type font ke atas kertas. Yang paling menarik font pada mesin taip sejak dari dulu lagi memakai font jenis 'american typewriter'. Sungguh klasik bentuk font itu. Sampai hari ini penulis lakonlayar di Hollywoood kalau menaip wa-imma guna computer - mereka tetap memilih font american typewriter. Mungkin kerana font tersebut dapat memberi gambaran, style dan format sebuah naskah screenplay.

Terima kasih mesin taip. Terima kasih emak yang suruh aku belajar menaip sejak aku di sekolah rendah lagi. Pada aku, mesin taip telah banyak berjasa. Aku akan tetap kenang peranan kau dalam membantu aku berkarya. Kau adalah Seniman Besi.

Friday, July 9, 2010

CINTA KITA - Screenplay Is Picture Telling Story

Aku baca skrip Cinta Kita entah berapa kali dah tak ingat. Aku baca dengan suara yg kuat tapi boleh didengar dalam sekitaran ruang tamu hingga kedapur rumah kami saja. Emak tegor suruh aku baca perlahan. Aku baca arahan cerita dan dialog watak. Kejap aku jadi watak Sofea Jane kalau aku baca part Dino. Kejap aku jadi Aman Shah (nama Aman Graseka masa tu) kalau aku baca part Arman. Emak sudah masak dengan gila aku.

Setiap kali aku ulang baca, ada saja idea baru yang datang. Ada saja konflik, plot, gerak dan perasaan aku tukar ganti. Yang peliknya, bukan aku membaca perasaan watak-watak, tapi Dino dan Aman juga membaca watak dan perasaan aku. Kami berbual, bertukar fikiran hingga terjadi perubahan demi perubahan pada story telling Cinta Kita. Aku tak kisah. Aku dah dapat merasakan yg watak-watak ciptaan aku hidup diatas kertas A4. Tak lama mereka akan hidup pula dilayar perak. Ini lah roh kalau nak tau. Cerita ini sudah berjiwa. Watak akan bergerak hidup apabila ada pelakun yang memainkan peranan mereka. Itulah kelebihan 'wayang gambar'.

Perana dialog juga menarik. Deraf pertama agak banyak juga aku tulis dialog. Tapi setiap kali aku baca dialog ada saja dialog-dialog yang aku sunting dan delete. Emak aku perasan rupanya.
Dia asyik dengar aku membaca dalam bentuk cerita dan sedikit sangat kedengaran dialog.

"Ai. . . . mana pi dialog semua? dulu banyak. Hang cakap, aku cakap. Lani tak dengar dah?"

"Mak..lakonlayar tu maknanya cerita bergambar. Kita sampaikan cerita melalui gambar demi gambar. Shot demi shot. Dalam filem ada fade in fade out, ada cut, ada dissolve, ada high angle shot, ada low angle shot.....semuanya memberi peranan untuk bercerita..." aku terang pada emak tanpa aku peduli sama ada emak faham atau tidak. Ternyata emak aku tak sampai kesitu pemikirannya. Tak ngapa...asalkan skrip ini tercapai cita-cita school of taught aku. Filem mesti bercerita dengan gambar bukan dialog macam skrip drama radio. Namun peranan dialog bukan calang-calang dalam sesebuah filem (aku lebih suka sebut perkataan 'pernceritaan'). Nanti aku cerita pasal dialog dilain pos pulak.

"Nanti filem hang senyap...tak ada cakap-cakap... Orang kata filem bisu." emak seperti tak yakin dengan aku. Mencabar aku.

"Gambar yang Atan cipta nanti akan bercakap dengan sendiri. Akan berinteraksi dengan penonton. Gambar akan meluahkan perasaan wata-watak." balas aku sedikit tegas. Tapi pertanyaan emak tadi membuat aku harus berjaga-jaga setiap shot, picture, visual dan image yang aku cipta harus aku fikir semasak-masaknya sebelum aku buat keputusan memilih angle, lensa dan saiz shot sebelum menjerit 'action'.

Dengan skrip deraf pertama ditangan, aku mula mengetip kembali naskah itu menjadi deraf kedua. Seingat aku naskah Cinta Kita setakat tiga kali deraf saja untuk menjadi final script.

Akhirnya aku tahu skrip ditangan aku ini adalah sebuah naskah yang ceritanya bergambar atau picture telling story.

Friday, July 2, 2010

CINTA KITA - Lakonlayar


Aku beritahu emak yang aku akan berada disini (rumah kami
di Penang) paling lama tujuh hari. Emak sudah dapat menjangka yang aku akan menaip skrip ini dalam masa tiga hari saja. Dia tau
aku menaip pantas. Tak sia-sia dia menyuruh aku belajar menaip
dulu. Dia mahu aku bekerja sebagai kerani kerana kerani tak ada kerja lain kecuali menaip. Rupa-rupanya aku menaip lain; lakonlayar.

"Skrip ni tajuk ape Atan........?" tanya emak aku yang memanggil nama timang-timangan aku Atan. Maklomlah aku anak sorang mereka. Abang aku mati lepas beberapa hari lahir di dunia. emak dan ba sempat beri nama dia Yaakob mengambil sempena nama Nabi Yaakob sebab nama bapak aku Ishak. Tapi kenapa emak namakan aku Kamal. Kata emak perkataan Kamal tu salah satu sifat insan yang dituntut baiknya. Sifat Jalal. Sifat Kamilmukamil: sifat kesempurnaan . Apa pun diberi nama aku Kamal bin Ishak yang sudah dijanjikan Allah. Sihat sakit, kaya miskin, hidup mati semuanya sudah dijanjikan Allah.

"Atan bubuh tajuk filem ini Cinta Kita la mak...." jawab aku.
Emak akulah yang jadi insan pertama yang aku bagi tahu tajuk filem ini. Niat aku tercapai akhirnya kerana aku mahu dia jadi orang pertama tahu judul filem ini.

Kerja menaip pun bermula. Dari adegan satu, ke adegan dua dan seterusnya. Aku pastikan
cerita aku bergerak atas landasan three act play. Ini adalah asas untuk mengawal penceritaan. The art of telling story. Cerita mesti ada permulaan (act 1), pertengahan (act 2) dan pengakhiran (act 3). Aku juga mengawal penceritaan aku melalui helaian muka surat. 10 muka surat pertama ialah untuk memaparkan cerita dan konflik tema. Jangan terlalu banyak memperkenalkan konflik watak utama. Perkenalkan juga latar dan ilmu alam cerita. Perkenalkan antoganis yang menghalang cita-cita watak untuk mencapai goal nya. Ingat character must have goal. Saat watak mahu mencapai goal itu, sudah tentu dia akan bertembong dengan halangan-halangan tertentu.

Dalam penulisan skrip, masa yang dikira ialah one page is for one munites. Satu muka surat ialah untuk satu minit. Jadi kalau 120 muka surat bermakna durasi filem kita 120 minit iaitu 2 jam masa perjalanan filem. Ini adalah standard durasi taysangan untuk sesebuah filem ditayangkan. Jadi kita hendaklah mahir menyusun cerita pada muka surat (pages) untuk setiap babak. Babak ialah 'act' manakala adegan 'scene' akan berada didalam babak. Saat aku menaip skrip, aku akan pastikan scene by scene berada dalam situasi babak yang tepat dan dikawal oleh helaian kertas yang akhirnya menjadi muka surat demi muka surat. Contohnya apabila aku melihat helaian muka surat 45; aku bertanya apa cerita berkembang atau tidak. Apakah plot menampakkan progressive atau masih still. Kemana arah tujun cerita selepas ini. Sudahkah watak melepasi plot point 1 dengan jayanya. Bagaimana keadaan plot point 2 yang lebih rumit bakal terjadi hingga mencapai klimaks sebelum cerita tamat.

Aku menaip dengan laju tanpa ada halangan kerana aku telah melepasi prosess pemikiran sebelum ini. Aku sudah mengenali watak dan kemahuan serta halangannya. Aku sudah kenal latar cerita, konflik dan krisis. Aku sudah nampak jelas mid point scene. Aku sudah masak dengan dialog-dialog yang bakal watak-watak perbualkan. Maka kerja menaip skrip berjalan dengan lancar. Ada kawan datang melawat aku bila mereka tau aku ada di Penang. Aku layan mereka tanpa sedikit pun kerja-kerja menaip aku menjadi halangan. Malah semasa melayan mereka, banyak idea-idea baru masuk bertukar ganti.

Pagi di tempat aku amat riuh. Di Kepala Simpang Jalan Perak, aku cari nasi kandar. Sedap yang dijual oleh Ariff anak mamak kawan sekolah aku. The best nasi kandar. Dulu masa aku di sekolah rendah, bapaknya yang berniaga. Sekarang turun pada anak dia pula. Cuma harga berbeza. Zaman bapaknya sebungkus nasi kandar boleh dibeli dengan harga 10 sen ke 20 sen. Kalau 50 sen tu, kira makan puas sampai tengahari. Aku kerap beli harga 10 sen sebungkus untuk makan pagi sebelum berjalan kesekolah Menengah Abdullah Munshi. Lepas makan, aku ronda-ronda ke rope walk tempat menjual barang-barang lama antik. Banyak ilham akan kedapatan meronda disitu membelek-belek barang lama. Aku suka mencari buku-buku lama terutama sejarah tanah air dan asia. Piring hitam lama pun ada dijual. Barang curi pun ada dijual. Pendek kata kalau kita kecurian barang dan pergi merayau-rayau ke rope walk, kita akan dapati barang kita sudah dijual disitu.

Akhirnya lakonlayar siap 118 muka surat. Selepas aku mengetip huruf t a m a t aku berasa lega menarik nafas panjang. Syukur alhamdulillah atas nikmat yang dia beri terutama kesihatan yang baik sepanjang kerja-kerja menaip lakonlayar Cinta Kita.

"Jaga baik-baik watak-watak yang hang cipta tu Atan. Depa pun manusia juga." pesan emak.

Aku terharu sampai kesitu emak dapat menyelami harga kemanusiaan.

"Jangan jatuhkan maruah depa. Depa orang Melayu. Hang buat filem Melayu. Tanggung
jawab hang berat pada orang Melayu"

Ah....parah. Siang-siang lagi emak dah berpesan sambil mencabar masa depan kerja aku sebagai sutradara filem. Ini filem pertama aku. Siang-siang lagi mak buat aku goyah untuk berada didalam industri ini. Rupanya dalam diam emak memang suka aku jadi film director macam P. Ramlee. Mentang-mentanglah rumah P.Ramlee belakang rumah kami tapi seberang sungai. Masa muda emak aku pun kenal P. Ramlee sebab bapak aku kawannya.

"Mak...Atan tak mau jadi P. Ramlee. Orang mana pun tak boleh jadi P. Ramlee kecuali depa dok berangan saja. Biar P. Ramlee sorang saja dalam dunia ni. Rasanya tak ada orang yang boleh jadi P. Ramlee. Trofi P. Ramlee banyaklah orang dapat."

"Hang ni cakap suka merepet..."

Dengan skrip draf pertama ditangan aku, aku terbayang wajah Sofea Jane.

Tuesday, June 22, 2010

CINTA KITA - Tagline


CINTA

ITU

APABILA

ANDA

BERTEMU

DAN

MEMBUAT

PILIHAN

YANG

TEPAT

(loves is when you meet the right person you fall in love with. . . . .)

Ini ayat yang aku bayangkan akan menjadi punchline untuk aku tulis pada poster filem itu
nanti. Percaya atau tidak setakat ini aku belum menemui judul filem ini lagi. Bukan aku tak
cari...cari, tapi tak sesuai dengan jiwa. Kenapa tagline itu? kerana aku dapat rasa Latifah bukanlah pasangan sejati untuk Remy. Sebelum dirinya lebih teruk dihumban kedalam kemelut, lebih baik dia dipisahkan seawal mungkin. aku percaya dia akan bertemu dengan cinta yang lebih tepat selepas ini. Tuhan itu amat menyayangi hambanya. Latifah akan menemui lelaki yang lebih baik dari Remy. Aku berpegang kuat pada tagline itu.
Tapi ingat apabila kita ada tagline, dialog itu harus nanti diberi kepada watak terutama watak utama untuk diucapkan demi katartis cerita. percayalah penonton akan puas apabila dialog itu diucapkan terutama oleh pelakun utamanya. Tagline harus selari dengan jalan cerita dari awal hingga ke akhir.

Dengan tagline ini sekali dua imbas aku terbayang bayang wajah poster filem yang belum berjudul ini. Rosyam kerap juga bertanya "Mal, apa judul filem kau ni? nanti reporter tanya senang aku jawab....." Aku senyum macam aku dah ada judul tapi sengaja nak merahsiakan.